Menteri-Menteri Baru Janji Pikul Amanah





Tujuh menteri baharu dalam barisan Kabinet yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini, berikrar menjalankan tugas mereka dengan penuh amanah dan tanggungjawab.



KUALA LUMPUR – Tujuh menteri baharu dalam barisan Kabinet yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini, berikrar menjalankan tugas mereka dengan penuh amanah dan tanggungjawab.

Mereka ialah Datuk Hamzah Zainudin yang dilantik sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar (Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar), Datuk Seri Mahdzir Khalid (Menteri Pendidikan), Datuk Wilfred Madius Tangau (Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi), Senator Datuk Seri Dr Mohd Salleh Tun Said Keruak (Menteri Komunikasi dan Multimedia), Datuk Seri Azalina Othman Said (Menteri di Jabatan Perdana Menteri) dan Datuk Seri Ong Ka Chuan (Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II).

Perkhidmatan mereka berkuat kuasa esok.

Dalam reaksinya, Mahdzir mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri di atas kepercayaan beliau melantiknya menyandang jawatan Menteri Pendidikan.

Mahdzir yang juga bekas Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air berkata jawatan itu merupakan amanah besar kerana sektor pendidikan merupakan tunjang untuk mencapai negara maju.

“(Saya) berazam memastikan sektor pendidikan di negara ini lebih ke hadapan dan berharap mendapat sokongan padu daripada semua pihak dalam menjalankan tugas yang mencabar ini,” katanya dalam kenyataan ringkas hari ini.

Mahdzir yang juga bekas Menteri Besar Kedah dan Anggota Parlimen Padang Terap mengambil alih jawatan itu daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Azalina yang juga Anggota Parlimen Pengerang pula menyifatkan pelantikannya sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri adalah sesuatu yang mengejutkan.

Katanya beliau mengetahui tentang pelantikannya itu menerusi radio.

“Saya terperanjat dengan berita itu tetapi berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana memberi keyakinan kepada saya untuk menyertai barisan kabinet baharu ini,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Azalina yang juga Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) berharap pelantikannya itu dapat memberi kekuatan kepada barisan Kabinet baharu dan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Sebelum ini, Azalina pernah berkhidmat sebagai Menteri Pelancongan pada 2008 hingga 2009 dan Menteri Belia dan Sukan pada 2004.

Wan Junaidi ketika dihubungi Bernama turut melahirkan rasa terharu dan berterima kasih kepada Najib di atas kepercayaan beliau melantiknya menyandang jawatan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar.

“Harapan saya untuk selesaikan isu-isu berkaitan alam sekitar termasuk pengurusan banjir dan saliran demi kesejahteraan rakyat negara ini.

“Saya akan berbincang dengan agensi berkaitan mengenai perkara ini dan saya harap kami dapat bekerja sebagai satu pasukan yang mantap,” katanya yang sebelum ini menyandang jawatan Timbalan Menteri Dalam Negeri.

Wan Junaidi yang juga Anggota Parlimen Santubong mengambil alih jawatan itu daripada Datuk Seri G. Palanivel.

0 Response to "Menteri-Menteri Baru Janji Pikul Amanah"

Post a Comment

Powered by Jasper Roberts - Blog
'; (function() { var dsq = document.createElement('script'); dsq.type = 'text/javascript'; dsq.async = true; dsq.src = '//' + disqus_shortname + '.disqus.com/embed.js'; (document.getElementsByTagName('head')[0] || document.getElementsByTagName('body')[0]).appendChild(dsq); })();