MENTERI Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengusulkan cadangan pewujudan sebuah lagi pusat beli-belah barangan dan gajet komunikasi yang menyerupai Plaza Low Yat di Bukit Bintang namun dikhususkan 100 peratus kepada peniaga Melayu.
Memetik laporan dari Astro Awani, pusat tersebut yang dicadangkan dibuka di Jalan Raja Laut itu akan memberi pilihan kepada orang ramai yang sebelum ini hanya tertumpu di Low Yat sahaja.
“Kita sedar dengan kewujudan tempat-tempat lain yang turut menyediakan perkhidmatan sama, seperti di Bukit Bintang dan bangunan Pertama Kompleks yang bersebelahan bangunan Mara, namun kita percaya orang ramai selepas ini akan memiliki lebih banyak pilihan sekiranya melakukan urusniaga terus bersama pembekal.
“Kita sasarkan golongan peniaga seratus peratus dari kalangan Melayu. Belum lagi pembekal dari kalangan Melayu, oleh kerana itu kita beri kelonggaran,” ujar beliau.
Dalam laporan sama, Ismail berkata, Low Yat 2 bakal ditempatkan di tingkat 3 Bangunan Majlis Amanah Rakyat (Mara) selepas ruang tersebut diubah suai mengikut kesesuaian dan keperluan peniaga.
“Kita akan bangunkan tempat tersebut secepat mungkin dan kita beri ruang kepada peniaga Melayu khususnya.”
11 Julai lalu, satu pergaduhan melibatkan beberapa individu menjadi isu panas apabila ia dikaitkan dengan isu perkauman sehingga satu protes diadakan di hadapan pusat tersebut bagi memboikot peniaganya. – MYNEWSHUB.CC
Oleh: IZZAT MOHD ANUAR
0 Response to "Ismail Sabri Cadang Buka Low Yat 2, Khusus Untuk Peniaga Melayu"
Post a Comment