Adlin Dan Emelda Dapat Durian Runtuh ! !




Menghadiri majlis pelancaran PeaceY’all FM baru-baru ini, hadirin dan rakan media terkejut apabila Adlin Aman Ramli dan isterinya Emelda Rosmila Abdul Hamid turut disenaraikan sebagai penyampai stesen radio dan TV dalam talian itu.
Sudah tentu pembabitan mereka dalam Peacey’all FM akan dikaitkan dengan Datuk AC Mizal yang juga presiden stesen terbabit. Seperti diketahui umum, Emelda ialah ipar AC.
Ditemui sebaik majlis pelancaran selesai, Emelda menegaskan, bekerja dengan ahli keluarga dalam mengendalikan program di PeaceY’all bukan lesen untuk melakukan tugas barunya sambil lewa.
Katanya, banyak faktor sebenarnya mengapa dia terima tawaran menjadi pengacara di stesen dalam talian itu.


“Selain bekerja dengan ahli keluarga, waktu sama saya dapat lakukan perkara yang saya mahu dan bebas melakukannya,” katanya.
Bercerita lanjut mengenai bekerja dengan ahli keluarga, kata Emylia, dia memang berpegang kepada ketelusan dan bersungguh-sungguh dalam melakukan sesuatu.
“Apabila stesen radio dan TV dalam talian ini milik ahli keluarga, lagilah saya perlu bekerja keras bagi memastikan ia diterima umum dan persembahan digemari,” katanya.
Kata Emelda, antara sebab lain dia bersetuju mengacara program di PeaceY’all FM ialah ia memberi ruang untuknya memberi tumpuan kepada bidang baru diceburi iaitu fesyen.
“Saya semakin kurang berlakon kerana sibuk menguruskan perniagaan pakaian yang saya usahakan sekarang. Namun dalam waktu sama, saya masih mahu aktif dan menjadi pengacara di PeaceY’all FM memberi peluang kepada saya untuk melepaskan rindu.
“Waktu bekerja di PeaceY’all FM sudah ditetapkan dan saya mengendalikan program Kopi Jam 4 hingga 5 petang, jadi senang untuk saya mengatur jadual kerja seharian,” katanya.
Lebih penting, kata Emelda, kepuasan lebih diperoleh apabila dapat mengacara di PeaceY’all FM kerana dia bebas menjadi diri sendiri.
“Kalau berlakon, walaupun bagus tetapi saya masih lagi menjadi orang lain. Bercakap harus mengikut skrip, tetapi tidak di PeaceY’all FM kerana saya boleh cakap apa saja dan cerita apa saja.
“Bagaimanapun, sudah tentu apa yang saya cakap dan berkongsi dengan penonton itu tidak harus melanggar batas atau garis panduan ditetapkan,” katanya.
Bagi Adlin pula, disebabkan mereka biras dan sebahagian daripada ahli keluarga, menjadi tang­gungjawabnya untuk membantu saudaranya bagi memastikan apa yang dilaksanakan akan memperoleh kejayaan.
Katanya, dia dan AC berkawan baik dan bukan setakat biras tetapi hubungan lebih seperti adik-beradik.
“Sudah tentu saya teruja apabila AC melakukan sesuatu yang baru dalam industri penyiaran tempatan dan saya mahu menjadi sebahagian daripadanya,” katanya.
Lebih daripada itu, kata Adlin, PeaceY’all FM membuka platform lebih besar kepada penggiat industri muzik tempatan kerana ia boleh dilayari di seluruh dunia dan di mana saja tanpa ada halangan.
“Bayangkan dalam keadaan pasaran industri yang lebih kapitalis, ramai penggiat seni, terutama penyanyi, tidak dapat mengembangkan atau memperdengarkan karya dihasilkan. PeaceY’all FM cuba memecahkan tradisi itu dan membuka peluang kepada semua orang.
“Secara jujurnya, pembabitan saya sebagai pengacara dan me­ngendalikan program Cap D’Jempol bermula jam 12 tengah hari hingga 2 petang untuk memberi sokongan kepada usaha terbaru ini dan mengembangkan lagi industri seni tempatan,” katanya.

Klik SINI untuk kembali ke menu asal

0 Response to "Adlin Dan Emelda Dapat Durian Runtuh ! !"

Post a Comment

Powered by Jasper Roberts - Blog
'; (function() { var dsq = document.createElement('script'); dsq.type = 'text/javascript'; dsq.async = true; dsq.src = '//' + disqus_shortname + '.disqus.com/embed.js'; (document.getElementsByTagName('head')[0] || document.getElementsByTagName('body')[0]).appendChild(dsq); })();